13.1.13

KARNIVAL PENDIDIKAN MARA 2013 ‘WADAH IMPIAN DAN KEJAYAAN’



MAJLIS Amanah Rakyat (MARA) meneruskan penganjuran Karnival Pendidikan MARA (KPM) kali ke-14 pada tahun 2013 dalam usaha menyalurkan maklumat berkenaan peluang-peluang pendidikan dan perancangan kerjaya. Penganjuran KPM ini mampu memastikan golongan pelajar dan belia serta graduan membuat pilihan bijak dalam menentukan hala tuju karier pada masa hadapan.


Selain itu, KPM juga merupakan penghubung bagi memudahkan urusan Institusi Pendidikan MARA (IPMa) dan IPTA/S untuk mendekati kumpulan sasar dengan mempromosi kursus dan program pengajian sedia ada dan baru yang ditawarkan di peringkat Sijil, Diploma, Ijazah Pertama, Profesional serta Pasca Siswazah terutama dalam 12 Bidang Utama Negara (NKEA). MARA juga menggerakkan tujuh (7) IPMa secara agresif untuk mempromosikan lebih 300 kursus di pelbagai peringkat pengajian akademik serta pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).


Dijangkakan sejumlah 400 buah institusi pendidikan tinggi tempatan dan luar negara akan mengambil bahagian dalam KPM 2013. KPM juga menjadi platform untuk MARA menyampaikan informasi berkaitan kemudahan penajaan atau penganjuran pelajaran, penyemakan baki pinjaman serta program-program terkini MARA melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan.

Lebih menarik lagi, KPM 2013, dengan kerjasama JobsMalaysia, dilengkapkan dengan Pameran Kerjaya dan Temuduga Terbuka di lima (5) buah lokasi iaitu di Kuala Lumpur, Pahang, Sarawak, Kelantan dan Terengganu. Majikan yang mengambil bahagian juga akan mengadakan sesi temu duga terbuka bagi pengambilan pekerja di samping mengadakan beberapa siri seminar kerjaya meliputi tips atau panduan mencari kerja, etika menghadiri temu duga dan soft skills yang diperlukan untuk menghadapi temu duga.

Lebih 200 ruang pameran bakal disertai oleh majikan dan syarikat yang menawarkan peluang kerjaya dalam bidang berkaitan dengan NKEA. Pengunjung yang berminat untuk menghadiri temu duga terbuka dikehendaki membawa resume dan sijil-sijil berkaitan. Dengan kehadiran pengunjung melebihi 200,000 pada setiap tahun, Karnival Pendidikan MARA merupakan antara pameran pendidikan terbesar di negara ini dengan fokus utama membangunkan modal insan kelas pertama yang diperlukan negara.

Justeru itu, IPTA/S, majikan dan usahawan terutama dalam perniagaan berkaitan pendidikan perlu merebut peluang ini untuk menyertai jelajah KPM 2013 di 10 lokasi yang terpilih.

Dapat info dan LIKE Karnival Pendidikan MARA 2013 di FB >> http://www.facebook.com/KarnivalPendidikanMARA

Sila Download >>


Tiada ulasan: